Sunday 5 June 2011

Antara Sahabat Dan Cinta !!!

Percintaan dan persahabatan adalah satu perkara yang berbeza. Percintaan merupakan satu perasaan yang mendalam terhadap seseorang yang kita kenali, yang sanggup untuk membuat apa sahaja terhadap orang yang disayang dan dicintai itu supaya dapat membahagiakan orang yang kita cintai itu dan ia berterusan sehingga ke akhir hayat kita. Persahabatan pula merupakan satu hubungan sosial tetapi tidak wujud perasaan sayang yang lebih daripada seorang sahabat. Ia adalah satu hubungan di mana dalam persahabatan yang terjalin itu saling membantu antara satu sama lain, sahabat yang sentiasa ada apabila seseorang sahabat itu dilanda sebarang masalah untuk dikongsi bersama bagi mengurangkan sedikit bebanan yang ada pada sahabat itu.

Dalam persahabatan tidak sepatutnya wujud perasan cinta. Ini kerana perasaan sayang yang diungkapkan itu kemungkinannya boleh merosakkan hubungan persahabatan yang sudah sekian lama terjalin. Selain mungkin akan berlaku kerenggangan dalam pergaulan dan juga mewujudkan suasana yang sedikit janggal semasa bersama. Tetapi untuk jatuh cinta dengan sahabat adalah sangat mudah kerana ia telah mewujudkan satu perasaan yang kita sendiri tidak sedar akan kehadirannya. Tetapi perasaan sayang terhadap sahabat boleh wujud apabila diri dirasakan lebih dihargai dan keprihatinan sahabat kepada sahabat. Hubungan antara sahabat yang rapat dan sentiasa bersama walau berada di mana-mana sahaja seperti mengulangkaji pelajaran bersama-sama, makan bersama-sama, belajar dalam kelas yang sama, bekerja di tempat yang sama, dan membuat tugasan bersama-sama. Dan ia tidak mustahil sekiranya tidak wujud perasaan sayang lebih daripada seorang sahabat.

Untuk mencintai dan menyayangi seseorang adalah mudah tetapi orang yang kita sayangi dan cintai itu mungkin sukar untuk menerima cinta kita. Ini kerana persahabatan yang sudah lama terjalin itu membuatkan orang yang kita sayangi dan cintai itu kemungkinannya dalam hatinya sudah pun berpegang kepada prinsip sahabat iaitu “sahabat selamanya”. Walaupun sayang tetapi sayang itu hanyalah sebagai seorang sahabat kepada sahabat sahaja dan ia tidak lebih daripada itu. Untuk membalas perasaan sayang yang diungkapkan oleh sahabat itu adalah sukar kerana dalam diri sahabat itu tidak wujud perasaan sayang yang sama dengan sahabat itu. Untuk bersama dengan sahabat yang kita sayang lebih daripada seorang sahabat juga tidak mustahil akan berlaku melainkan sahabat itu sudah pun mempunyai kedudukan yang teguh (terutama bagi lelaki) dan berniat untuk menjadikan sahabatnya itu sebagai teman hidupnya. Mereka boleh bercinta selepas kahwin. Mereka boleh terus mengikat antara satu sama lain melainkan sahabat yang dicintai itu tidak mempunyai teman istimewa dihatinya.

Sekiranya sahabat itu sudah pun mempunyai teman istimewa, sahabat tersebut perlu melupakan hasratnya itu dan meneruskan persahabatan yang sudah terjalin itu. Tetapi sebab sahabat itu menolak perasaan sahabatnya itu kemungkinan juga adalah disebabkan oleh faktor lain seperti pengalaman kegagalan percintaannya yang lepas dan membuatkannya takut untuk bercinta lagi. Tetapi perasaan sayang juga boleh dipupuk iaitu si dia perlu pandai mengambil hati orang disayangi dan dicintainya itu. Dalam situasi yang lain pula, sekiranya kedua-dua sahabat itu mempunyai perasaan yang sama tetapi malu untuk menyatakannya, ia adalah tidak menjadi masalah sekiranya ingin bersama. Tetapi sejauh manakah hubungan itu boleh diteruskan? Sekiranya tiada keserasian antara satu sama lain, kemungkinan hubungan percintaan yang dibina itu adalah tidak akan bertahan dengan lama. Ini kerana mereka tidak dapat meneruskan lagi hubungan tersebut dan terpaksa merelakan perpisahan sebagai pasangan kekasih dan hanya boleh meneruskan hubungan sebagai sahabat sahaja. Hal ini berlaku mungkin mereka hanya serasi sebagai sahabat sahaja dan tidak serasi sebagai pasangan kekasih.